ULASAN RINGKAS BERKENAAN ISU MESIR
Pandangan peribadi Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkenaan hal Mesir :
1. Dr.
Muhammad Morsi adalah Presiden Mesir yang sah melalui pilihanraya presiden yang
dijalankan secara demokratik pada 24 Jun 2012. Justeru tindakan menjatuhkannya
secara revolusi jalanan BUKANLAH CARA YANG BETUL, khususnya bagi seorang
pemimpin yang baru hanya 1 tahun berkuasa. Berikan masa dan berdiskusi lebih
tepat bagi mereka yang tidak bersetuju dan pengkritik.
2. Sepanjang
setahun beliau sebagai Presiden, beliau tidak mendapat sokongan penuh dari
pihak tentera, polis dan pelbagai kakitangan kerajaan. Ini menjadikan perubahan
yang dirancang sangat lambat dan kelihatan kurang berjaya. Selain itu, tempoh
setahun terlalu pendek untuk membersihkan kekalutan ekonomi dan minda selama 30
tahun yang ditinggalkan oleh Hosni Mubarak.
3. Saya
melihat, sifat dan sikap rakyat Mesir yang kelihatan terlalu banyak berpuak dan
membantah, keadaan ini sememangnya memerlukan satu jenis undang-undang ala
diktator dari pemimpin yang AMANAH DAN BAIK bagi menyatu dan mengurangkan masalah
administrasi khususnya di awal-awal pemerintahan. Justeru, rang undnag-undang
yang memberi Presiden kuasa penuh yang kontroversi pada hujung November 2012
itu adalah perlu dan tidak patut dianggap sebagai keaiban kepimpinan Morsi.
4. Tindakan
tentera yang merampas kuasa dengan sokongan Sheikhul Azhar dan Coptic Pope
Tawadros tidak secara demokratik bakal menyaksikan masa hadapan Mesir semakin
suram dan tidak pasti. Kelak nanti Presiden baru bakal menjadi boneka tentera
yang mana kiranya tidak disetujui, maka akan dirampas lagi oleh tentera.
Mungkin tindakan terbaik adalah Presiden baru perlu ‘revamp’ tentera agar
senjata mereka tidak menjadikan mereka mencarik keputusan rakyat majoriti.
5. Tindakan
rakyat awam Mesir yang mengadakan revolusi jalanan dan bergembira atas
kejatuhan Dr. Morsi adalah pelik dan kurang matang pada hemat saya. Masakan
tidak, sedang mereka bergembira dan merayakannya, adakah mereka sedar dan tahu
siapa yang bakal menjadi pemimpin terbaru mereka?, bilakah tarikh pemilihannya ?
adakah mudah menaikkan pemimpina kesukaan mereka untuk diterima semua
pendemonastrasi dan puak-puak? malah mungkin sebahagian besar mereka langsung
tidak mempunyai idea siapakah calon yang paling layak. Apakah tindakan mereka
ini lebih membantu menstabilkan Mesir atau mengoyahkannya semula? Dan lebih
teruk, tindakan ini memberi kesan kepada kemaslahatan rakyat Palestin.
6. Saya
bersetuju dengan tindakan Kerajaan Turki yang TIDAK MENGIKTIRAF kerajaan
sementara haram Mesir serta tidak berurusan diplomatik kecuali dengan Presiden
Morsi dan wakilnya yang sah sebagai mewakili kerajaan Mesir. Memang benar,
tindakan ini bakal menjejaskan banyak hubungan ekonomi dan diplomatik antara
kedua Negara selepas ini.
7. Rampasan
kuasa Morsi ini lebih jelas disokong oleh pihak barat padahal mereka sering
melaungkan keperluan untuk berpegang kepada Demokrasi, namun apabila Presiden
Mesir dilihat ingin meluaskan agenda Islam dalam pentadbiran dan membantu
Palestin, mereka kini berubah kepada menyokong rampasan kuasa pula.
8. Kerajaan
Malaysia sepatutnya mengecam rampasan kuasa ala tentera Mesir ini kerana
iktirafan kerajaan Malaysia bakal memberi mesej yang mengelirukan kepada
sebahagian rakyat Malaysia kelak iaitu seolah-olah Malaysia mengiktiraf
kerajaan melalui revolusi jalanan sedangkan tiada kezaliman nyata dilakukan
oleh Morsi yang hanya baru setahun jagung memerintah.
9. Menukar
pemimpin kerajaan melaui cara revolusi jalanan atau kekerasan memang lebih
banyak membawa mudarat berbanding manfaat. Justeru, wajarlah ia dijauhi. Perlu
difahami, revolusi jalanan menjatuhkan kerajaan BERBEZA DENGAN DEMONSTRASI AMAN
bertujuan menyatakan bantahan tanpa sebarang perancangan menggulingkan kerajaan
seperti di Mesir ini. Demonstrasi aman ( khususnya dengan permit) termasuk
dalam hak yang dibenarkan oleh sistem demokrasi, manakala revolusi bersenjata
dan ganas adalah tidak.
10. Ini
hanyalah pandangan peribadi dan mungkin saya juga boleh tersalah dalam analisa
dan penerimaan maklumat. Wallahu’lam.
No comments:
Post a Comment
--> Komen dengan bahasa kesat dan perkauman akan didelete
--> Komen yang releven akan saya balas dan kunjungan secara automatik (tanpa diminta) Sila tinggalkan jejak anda pada Cbox Amir.
--> Tekan "Subcribe By Email" untuk mengetahui balasan daripada saya
--> Untuk mendapatkan Backline guna Open ID