Assalamualaikum ^_^
Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni
Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar
rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di sebalik
alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun
menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali.
Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah
berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang
ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah
seterang cahaya matahari di siang hari. Pada saya, inilah ujian berat yang
sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para
pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas
bebas.
Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat menyokong rampasan
kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik Allah, tidak di
Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan Allah SWT
dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran. Di
samping menjaga dua tanah Suci, Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang
menghilangkan haus Amerika sekian lama. Inilah satu-satunya negara yang
dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.
Justeru, janganlah Saudi menyangka dengan sokongan mereka
kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia.
Jika darah Abdullah bin Zubair radhiallahuanhu pernah tertumpah akibat
diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam
di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini? Jika kabilah Arab
Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan
Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan
kesilapan?
Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum
apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Saudi terhadap tindakan tentera Mesir
yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya menyeru kepada
jiwa-jiwa yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali
cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.
Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan
Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan
tahun yang lampau. Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa
Mesir. Saya yakin Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera
dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.
Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak
sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي
هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh
berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini
sahaja... - Surah Toha, ayat 72
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 13 Syawwal 1434H bersamaan 20 Ogos 2013M
subhanAllah ,
ReplyDeletes0k0ng sgt ulasan t0k guru nim .
:'|
sem0ga Allah sentiasa melindungi bumi Islam .
Always #prayForEgyptSyriaPalestineRohingya